12 May 2009

Peranan ulama Patani di perantauan

Pendahuluan


APABILA kita bercakap ataupun menulis apa saja mengenai Patani, rasanya tidak akan kekeringan bahan kerana cukup banyak perkara yang boleh ditonjolkan. Patani adalah suatu negeri yang telah bertamadun sejak lama, Langkasuka, Tamberalinga, Fathani Darus Salam dan lain-lain. Kerajaan yang pernah berpusat di negeri itu sudah cukup dikenal dalam sejarah serantau. Apabila kita terjemah dan tafsirkan sepotong tulisan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, barangkali boleh dijadikan sebuah buku yang agak tebal juga.

Tulisan tersebut adalah, "... Patani adalah suatu negeri daripada negeri-negeri Melayu. Telah lahir sebahagian putera-puteranya orang-orang yang baik-baik, cerdik serta arif bijaksana. Adalah pada zaman dulu di bawah satu daulah (kekuasaan/pemerintahan) daripada daulah-daulah mereka yang agung/besar".

Ramai yang menyangka bahawa orang Patani hanya terlibat dalam satu bidang keislaman saja kerana cukup ramai ulama yang berasal dari Patani yang muncul sebagai pengarang kitab. Pada pandangan penulis, sebenarnya orang-orang Patani bukan hanya terlibat dalam penulisan kitab tetapi juga terlibat dalam seluruh aspek kemasyarakatan.

Mengenai ulama-ulama Patani sudah cukup banyak ditulis dan telah banyak pula dipetik orang; baik dijadikan tesis, buku dan lain-lain mahupun kertas kerja.

Ulama-ulama yang sudah cukup terkenal seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi.

Di sini penulis menonjolkan tokoh-tokoh Patani yang nadir, yang belum dibicarakan. Bahkan nama sesuatu tempat yang berasal daripada aktiviti mereka masih dapat dikesan walaupun kadang-kadang tokoh pemula, nama mereka tidak dikenali.

Kadang-kadang dikenal nama, tetapi orang tidak dapat mengesan bahawa pemula tadi adalah berasal dari Fathani Darus Salam. Untuk mewakili sekian ramai tokoh orang Patani selaku pemula sesuatu aktiviti atau kejadian, maka di sini hanya penulis sebut beberapa orang yang kebanyakannya adalah ulama, sebagai contoh di antara mereka.

Mengenai mereka ini penulis bahagikan kepada beberapa tempat yang wujudnya peranan mereka, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, Kepulauan Riau, Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Mekah, Mesir dan Turki.

Peranan ulama Patani di Betawi

Kedatangan orang Patani ke Betawi, baik secara langsung dari Patani ataupun setelah mereka dari Campa memang telah lama. Jika benar Sunan Gunung Jati/Syarif Hidayatullah adalah putera Sultan 'Umdatuddin bin Saiyid Ali Nurul Alam Sultan di Campa, menurut salah satu versi, bahawa Sunan Gunung Jati berhasil menguasai Sunda Kelapa itu pada 21 Jun 1527 M.

Sejak itu, beliau dan orang Patani yang ada hubungan dengan Sunan Gunung Jati ramai yang hijrah ke Betawi untuk membantu dan mengukuhkan kedudukan Sunan Gunung Jati.

Di antara sekian ramai orang Patani termasuklah keturunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin. Salah seorang di antara keturunannya ialah Wan Abdul Bagus, datuk neneknya berasal dari Patani tetapi beliau sendiri dilahirkan di Betawi. Beliau membuka Kampung Melayu di Betawi dalam tahun 1656 M.

Pemerintah Kolonial Belanda melantik Wan Abdul Bagus menjadi Ketua Orang-orang Melayu atau digelar dengan Capitain Malleyer. Wan Abdul Bagus al-Fathani menguasai tanah yang luas di bahagian tepi kiri-kanan Kali Ciliwung sebelah selatan dan bersempadan dengan tanah Meester Cornelis. Pemilikan tanah dikeluarkan dalam tahun 1661 M dan ditambah lagi tahun 1696 M sehingga menjadi amat luas.

Wan Abdul Bagus meninggal dunia tahun 1716 M. Beliau digantikan oleh anaknya Wan Abdullah. Gabenor Jenderal Belanda, bernama Frederik Durven (1729-1732) tidak menyukai Wan Abdullah. Lalu Belanda mencabut haknya dengan merampas kekayaan dan melucutkan jawatannya sebagai Kapten Melayu. Kemudian Wan Abdullah ditangkap, dipenjara, disiksa dan dibuang.

Berdasarkan cerita di atas dapat disimpulkan bahawa keluarga besar ulama Patani pernah berperanan penting di Betawi baik dalam kepemimpinan duniawi mahupun kepemimpinan menuju ukhrawi. Selain itu ada jalinan hubungan ulama antara Aceh-Patani-Betawi.

Generasi terakhir orang Patani yang berperanan sebagai ulama terkenal di Betawi ialah Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi al-Fathani al-Batawi yang datuk neneknya ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin, seperti yang telah disebutkan.

Kiai Syeikh Ahmad al-Marzuqi wafat di Betawi hari Jumaat 25 Rejab 1353 H/1934 M. Riwayat lengkap mengenai ulama ini telah penulis muatkan sebelum ini, juga dalam buku Thabaqat Ulama Asia Tenggara jilid ke-3.

Peranan ulama Patani di Sulawesi Selatan

Dalam tahun 1602-1632 M, berlaku pelarian beramai-ramai orang Patani kerana peperangan yang begitu panjang antara Fathani Darus Salam yang beragama Islam dengan kekuasaan besar Siam dari utara yang beragama Buddha.

Datuk Maharajalela, yang nama sebenarnya ialah Faqih Ali bersama dua anak saudaranya, Paduka Raja dan Puteri Senapati hijrah dari Fathani Darus Salam ke Kerajaan Gowa membawa bendera Fathani Darus Salam yang disebut Bendera Buluh Perindu, serta khazanah pusaka kebesaran kerajaan itu.

Di Gowa, beliau dan rombongan disambut oleh Raja Gowa, yang pada zaman itu diperintah oleh I Mangarangi Daeng Marabbia (Raja Gowa XIV). Di Kerajaan Gowa itu Faqih Ali/Datuk Maharajalela dilantik sebagai Ketua Orang-orang Melayu. Pada zaman itu di Sulawesi Selatan telah ramai orang Melayu di antaranya yang datang dari Johor, Riau, Pahang, Minangkabau, Aceh dan lain-lain.

Menurut riwayat, keturunan beliau terlibat dalam perang melawan penjajah Belanda. Mereka menyokong perjuangan Sultan Hasanuddin ketika berperang melawan Admiral Spelman. Adapun keturunan Puteri Senapati diriwayatkan adalah sebagai asal keturunan orang-orang Melayu di Ujungpandang dan menyebar di seluruh Sulawesi Selatan.

Barangkali kerana mereka kenal jati diri datuk neneknya yang anti kepada penjajah Siam, demikianlah jua keturunan tersebut yang berada di Sulawesi Selatan adalah orang-orang yang anti kepada pemerintah Belanda.

Peranan ulama Patani Di Kalimantan Barat

Dalam lingkungan tahun 1180-an H/1760-an M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung Mempawah dan kampung-kampung sekitarnya terkejut kerana didatangi oleh sekitar 40 perahu yang besar-besar belaka. Setelah dua orang ulama, Sheikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Sheikh Abdul Jalil al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon, iaitu Raja Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa perahu-perahu itu datang dari negeri Fathani Darus Salam.

Kedua-dua ulama itu mendapat kedudukan dan dihormati oleh masyarakat kerana pengetahuan luas mereka dalam keislaman.

Sheikh Abdul Jalil al-Fathani meneruskan penyebaran Islam ke Sambas, setelah meninggal dunia digelar oleh penduduk dengan Keramat Lumbang kerana makamnya terletak di Lumbang, Sambas.

Adapun Sheikh Ali tinggal di Kampung Tanjung, Mempawah. Pada mulanya sebagai seorang guru mengajar kitab kepada masyarakat, tetapi sewaktu Habib Husein al-Qadri (Tuan Besar Mempawah), iaitu Mufti Mempawah yang pertama dan guru bagi Upu Daeng Menambon hampir meninggal dunia (1184 H/1770 M), maka ulama yang berasal dari Arab itu berwasiat.

Wasiat itu ialah bahawa tiada yang layak menjadi Mufti Mempawah sebagai pengganti beliau melainkan Sheikh Ali yang tinggal di Kampung Tanjung itu. Wasiat Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu dilaksanakan oleh pihak istana Raja Mempawah.

Sheikh Ali dilantik sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan gelaran Maharaja Imam Mempawah. Beliaulah yang pertama bergelar demikian itu. Dengan demikian, Sheikh Ali adalah Mufti Mempawah yang kedua.

Beliau memperoleh zuriat yang ramai di Kalimantan Barat. Beberapa orang di antaranya berperanan sebagai tokoh terkemuka. Salah seorang anak beliau bernama Abdur Rahman atau lebih terkenal dengan nama gelar Wak Tapak. Beliau ini adalah seorang pahlawan Mempawah.

Sewaktu perkelahian antara orang-orang Cina dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan tempat-tempat lainnya termasuk Wak Tapak yang berasal dari Patani dan Tengku Simbob yang berasal dari Riau beliau berhasil mengalahkan orang-orang Cina.

Dimulai dengan kedatangan Sheikh Ali ke Mempawah itu secara berantai, orang-orang dari Patani, Kelantan dan Kedah terutamanya yang ada hubungan pertalian keturunan dan keilmuan dengannya terus menerus datang ke Kalimantan Barat, kecuali terhenti setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh berubah coraknya.

Tokoh-tokoh yang terkemuka yang berasal dari Patani sesudah itu ialah: Wan Nik al-Fathani iaitu seorang ulama sufi guru masyarakat. Menantunya Haji Hasan al-Fathani adalah Imam Masjid Jamek Pemangkat (Kabupaten Sambas). Haji Hasan al-Fathani sahabat Sheikh Basiyuni Imran yang lebih terkenal dengan gelaran Maharaja Imam Sambas.

Selanjutnya yang datang dari Kedah pula ialah Sheikh Muhammad Yasin yang membuka pondok pengajian di Kuala Mempawah. Dari Kelantan ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang pernah menjadi Mufti Pontianak. Manakala Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani adalah Mufti Mempawah yang terakhir.

Walaupun ketiga-tiga ulama tersebut itu bukan berasal dari Patani, tetapi tetap ada hubungan dakwah dan pendidikan Islam dengan Sheikh Ali kerana sebelum mereka mendapat kedudukan di sana, semuanya tinggal di rumah keturunan Sheikh Ali.

Yang terakhir ialah penulis sendiri yang berasal keturunan Patani di Riau. Datang ke Sambas 18 Januari 1968 dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988, dan sempat mencatat hampir semua peristiwa mulai Sheikh Ali hingga Haji Abdur Rahman al-Kalantani dari mulut Haji Abdur Rahman Kelantan sendiri, kerana beberapa tahun penulis tinggal di rumah beliau.

Selain itu, semua peristiwa pula dicatat dari keturunan mereka dan orang tua-tua di Mempawah.

Peranan ulama Patani di Kepulauan Riau

Kepulauan Natuna, Siantan, Jemaja dan Tambelan yang semuanya terletak di Laut Cina Selatan adalah kepulauan-kepulauan yang mesti disinggah oleh para pelayar pada zaman dulu. Orang Patani pula baik yang dari Patani sendiri ataupun keturunan mereka yang telah lama tinggal di Campa, setiap kali berulang-alik antara Patani-Jawa-Campa, sentiasa singgah di kepulauan-kepulauan itu.

Pulau yang terbesar di Laut Cina Selatan ialah Pulau Bunguran. Di sana, memasuki sungai kecil disebut Sungai Semala, terletak sebuah kubur yang dikeramatkan orang yang disebut Keramat Binjai, iaitu seorang ulama yang berasal dari Patani, yang berkemungkinan dari Semela, Patani.

Keseluruhan Pulau Natuna itu memang dibuka oleh orang Patani. Pemerintah pulau itu disebut sebagai Datuk Kaya dan semua mereka memakai nama 'Wan' di pangkal nama. Menunjukkan bahawa mereka juga berasal dari kaum bangsawan Patani. Demikian halnya dengan Datuk Kaya Kepulauan Tambelan.

Sebelum menceritakan asal-usul Datuk Kaya di sini, penulis catatkan sedikit peristiwa, bahawa sekitar abad ke-16-17, sebuah perahu terdampar di Pantai Teluk Baruk disebut juga Gunung Rujin di Pulau Bunguran itu.

Di tempat perahu itu terdampar kemudian dinamakan orang dengan Tanjung Kapal. Dipercayai perahu tersebut berasal dari Patani setelah melalui Campa. Hinggakan pemimpin rombongan perahu terdampar itu belum diketahui secara pasti, tetapi salah seorang keturunannya bernama Wan Taksim.

Wan Taksim inilah mengutus seorang anaknya bernama Wan Abu Bakar belajar ke Mekah. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya ada hubungan keluarga dan tinggal serumah di Mekah.

Setelah menjadi ulama, Haji Wan Abu Bakar mendapat arahan Sheikh Daud supaya menyebarkan Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut.

Perintis sebar agama

Boleh dianggap beliau adalah perintis menyebarkan agama Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut itu.

Di Kepulauan Siantan beliau menjadikan Air Bini sebagai pusatnya. Anak beliau bernama Haji Wan Abdur Rahman juga belajar di Mekah, setelah menjadi ulama selain mengembara di kepulauan-kepulauan tersebut beliau juga pernah menyebar Islam di Sarawak.

Beliau menjadikan Pulau Midai sebagai pusat penyebarannya untuk persekitaran Laut Cina Selatan. Beliau adalah imam yang pertama Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai yang dibina bersama murid-muridnya yang berasal dari Terengganu.

Adapun Datuk Kaya yang pertama Pulau Bunguran bernama Wan Muhammad Perdana Mahkota. Dari mana beliau berasal menjadi pertikaian pendapat, ada riwayat bahawa beliau berasal dari Johor, riwayat lain berasal dari Patani.

Namun penulis lebih cenderung menyetujui pendapat beliau berasal dari Patani. Mengenai ini sangat jelas bahawa ketika beliau meninggal dunia, anak beliau yang bernama Wan Qamaruddin (Wan Rama) selaku yang berhak menggantinya tidak berada di tempat tetapi sedang tinggal di Campa, maka diutus orang pergi mengambilnya.

Wan Qamaruddin/Wan Rama adalah Datuk Kaya Pulau Bunguran yang kedua. Beliau diganti oleh anaknya, Wan Teras. Wan Teras memperoleh tiga anak dan yang menggantikan beliau sebagai Datuk Kaya ialah Wan Husein. Beliau ini seorang alim meninggalkan sebuah karya tentang ilmu tasauf yang diselesaikan tahun 1289 H/1872 M.

Manuskrip asli karya tersebut pernah menjadi milik penulis, dan telah diserahkan kepada Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dengan nombor kelas MS 1091.

Anak Datuk Kaya selanjutnya adalah Wan Muhammad Benteng (pemerintahannya tahun 1926-1941) yang dikenali dengan Datuk Kaya Bunguran Timur. Datuk Kaya yang terakhir ialah anak beliau bernama Wan Muhammad Rasyid.

Selain itu, salah satu kebudayaan sejenis Menora, di Pulau Bunguran/Natuna dan di Mempawah, Kalimantan Barat disebut Mendu dipercayai bermula dari kebudayaan Patani.

Salah satu di antara lagu yang didindangkan ada menyebut Kerisik, iaitu: "Dari lah Kerisik, dari lah Kerisik ke pantai lah lalang

Nasib tiada baik, nasib tiada baik hai dirundunglah malang".

Penutup

l Peranan ulama-ulama Patani hanya dapat dibicarakan untuk beberapa buah tempat sahaja, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, dan Kepulauan Riau sahaja.

Untuk peranan ulama Patani di tempat lain iaitu di Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Makkah, Mesir dan Turki akan dilanjutkan perbicaraan minggu berikutnya.


Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

6 May 2009

Kehebatan ulama Melayu Ahli Sunnah wal Jamaah

PERBICARAAN mengenai isu ini pernah dibentangkan penulis dalam satu seminar, yang mana penulis petik sedikit kalimat-kalimat dalam undangan tersebut yang ternyata sungguh mencabar dan prihatin, di antaranya, "Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menangani gejala kekeliruan umat Islam yang terjadi akibat penyusupan masuk pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada pegangan yang berasas kepada al-Quran, As-Sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan Al-Qiyas as-shahih.

Kekeliruan ini ditambah lagi dengan kecetekan ilmu setengah umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi kehairanan tidak tahu untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan akhirnya terpengaruh dengan slogan-slogan indah yang dibawa oleh pelbagai puak yang berkepentingan."

Mengenai istilah al-Quran, as-sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan al-Qiyas as-Shahih yang tersebut dalam kalimat secara umum di dunia Melayu, termasuk di Malaysia, pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini dan juga diungkapkan dalam satu kertas kerja yang panjang yang dibentang dalam "SEMINAR baHAN RUJUKAN ISLAM NUSANTARA" yang dibentang di Brunei Darussalam.

Petikan ringkas dapat penulis rakamkan di sini, "Ulama silam Nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama ialah al-Quran dan hadis. Namun mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.

Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan iaitu al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran otak semata-mata."

Sebenarnya ulama-ulama besar kita di dunia Melayu sejak lama sudah mempersiapkan benteng yang kukuh, membendung umat Islam kawasan ini daripada pelbagai penyelewengan.

Ia dapat dibuktikan dengan karya-karya mereka dalam pelbagai keilmuan. Ulama-ulama dunia Melayu yang dianggap menguasai banyak bidang ilmu di antaranya orang Banjar meriwayatkan bahawa Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 H/1710 M - 1227 H/1812 M) menguasai sekurang-kurangnya 35 bidang ilmu.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) pula dirakamkan dalam majalah Pengasuh sanggup mengarang dan mengajar sekurang-kurangnya 47 bidang ilmu. Dalam majalah Pengasuh terbitan yang sama juga disebutkan bahawa Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali, 1287 H/1871 M -1352 H/1933 M) memperoleh 24 bidang ilmu daripada gurunya, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sungguhpun demikian yang sangat-sangat diberatkan atau ditekankan sebagai fardu ain adalah tiga bidang ilmu, ialah akidah, fiqh dan tasawuf. Ketiga-tiga jenis ilmu di atas inilah dianggap benteng pertahanan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah di dunia Melayu.

Walau bagaimanapun, yang benar-benar bernama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu menurut kebanyakan ulama ialah pegangan pada akidah, yang dalam hal ini terdapat dua tokoh imam besar. Kedua-dua imam tersebut ialah Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/873 M - 324 H/935 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H/944 M).

Imam dalam fiqh pula sekurang-kurangnya banyak dibicaranya empat orang ialah: Imam Hanafi (80 H/699 M - 150 H/767 M), Imam Maliki (93 H - 179 H), Imam Syafi'ie (150 H/768 M - 204 H/820 M) dan Imam Hanbali (164 H - 241 H). Imam dalam tasawuf pula ialah Sheikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297 H/910 M).

Karya-karya ulama Melayu sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah

Ilmu akidah di kalangan ulama dunia Melayu, bahkan secara keseluruhan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di seluruh dunia Islam dinamakan juga dengan ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu ushuliddin, dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Jumanatut Tauhid menyebut bahawa ilmu tauhid itu seumpama matahari, ilmu-ilmu selainnya ibarat seperti bintang-bintang saja.

Di dunia Melayu, termasuk Malaysia, disiplin ilmu tauhid adalah termasuk ilmu yang paling diutamakan. Ini dapat dibuktikan dengan sangat banyak kitab ataupun risalah mengenai ilmu itu ditulis oleh ulama-ulama kita.

Untuk menyenaraikan keseluruhan ulama-ulama yang mengarang ilmu ini adalah terlalu banyak.

l Karya ilmu tauhid/ akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang lengkap nama pengarang serta dengan tahunnya yang paling awal dihasilkan adalah ulama yang berasal dari Kedah. Beliau ialah Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) dengan karya Ilmu Tauhid yang ditulis tahun 1032 H/1622 M.

l Kitab ilmu tauhid yang paling tebal pula ialah Warduz Zawahir (1245 H/1829 M) susunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diikuti kitab berjudul Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashauwufis Shaaffin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan Fat-hul 'Alim (1324 H/1906 M) karya Haji Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.

l Karya ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikarang ulama dunia Melayu dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam (1293 H/1876 M) dan Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M) yang ketiga-tiganya karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

l Antara kitab lain dalam bahasa Arab juga iaitu Fat-hul Majid fi Syarhid Duraril Farid fi 'Ilmit Tauhid (1294 H/1877 M), Tijanud Darari fi Syarhi Risalatil Bajuri (1297 H/1880 M) dan Zari'atul Yaqin fi Syarhi Ummil Barahin atau Ad-Durratun Nadhra 'alal 'Aqidatish Shughra (1302 H/1885 M), ketiga-tiga karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

l Kitab ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang besar pengaruhnya di dunia Melayu pula ialah: Ad-Durrus Tsamin (1232 H/1816 M) karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Faridatul Faraid (1313 H/1895 M) karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sirajul Huda (tanpa tarikh) karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan 'Aqidatun Najin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Perhatian raja-raja Melayu

Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia (17 Ogos 1945), hampir semua kerajaan dalam jajahan Belanda di dunia Melayu, termasuk di Semenanjung yang dijajah oleh Inggeris berpegang teguh dengan Mazhab Syafie dalam fiqh dan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam akidah.

Perhatian raja-raja Melayu mengenai perkara yang tersebut sangat jelas, sebagai contoh tokoh Johor, bernama Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar dalam karya akidahnya berjudul Matnur Risalatit Tauhidiyah pada pendahuluan dicatatkan, "Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah dan kitab-kitab pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Johor, iaitu pada masa Al-Marhum itu melawat negeri Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 [Masihi]."

Dimaksudkan ialah sebuah risalah tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berjudul Al-'Uqudud Durriyah karya ulama Mesir bernama Sheikh Hamzah Fathullah, pemeriksa sekolah-sekolah Arab di Mesir. Karya tersebut diterjemahkan oleh Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar ke dalam bahasa Melayu. Setelah menterjemahkan matan, Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar menulis pula syarah risalah itu yang diberi judul Syarhur Risalatit Tauhidiyah.

Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Jabbar Syah al-Jarimi al-Fathani adalah seorang ulama Patani yang menjadi guru Sultan Pahang, dalam karya akidahnya berjudul Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman (1337 H/1919 M).

Pada halaman muka dinyatakan, "Diterjemahkan ini kitab dengan titah Yang Maha Mulia al-Mu'tashim Billah as-Sulthan Abdullah al-Muzhaffar Syah ibni al-Marhum as-Sulthan Ahmad al-Mu'azhzham Syah Pahang ...".

Daripada kedua-dua maklumat di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa raja-raja Melayu silam mengambil perhatian berat tentang membentengi negeri-negeri di bawah naungan baginda dengan pegangan yang betul, itulah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

PETIKAN KANDUNGAN BEBERAPA KITAB ULAMA MELAYU

Terlalu banyak pegangan keislaman yang tepat dan betul telah diamalkan oleh para ulama dunia Melayu dan para ulama seluruh dunia yang pada zaman kita menjadi sebaliknya. Bagi yang betul dikatakan salah dan yang salah dikukuhkan sebagai betul.

Pada zaman ini, kita banyak kali terlihat tulisan atau orang bercakap yang menghina ulama. Di antara tulisan itu seperti dikatakan, "Ulama pembohong" dan lain-lain. Siapakah yang bertanggungjawab menulis demikian, dan ulama yang bagaimanakah yang dimaksudkan sebagai pembohong itu, adalah tidak jelas.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam karyanya Ad-Durruts Tsamin (1232 H/1816 M) pernah mengungkapkan bahawa manusia ada jenis yang dinamakan hubbul ulama, iaitu "kasih kepada ulama", dan sejenis lagi dinamakan bughdhul ulama, iaitu "benci kepada ulama".

Penulis tidak hairan jika mencaci, menyalahkan dan memperkecil-kecilkan ulama itu dilakukan oleh orang-orang yang jahil, tetapi adalah sangat menghairankan jika perbuatan seperti itu dilakukan golongan terpelajar Islam sendiri.

Dalam beberapa seminar yang pernah penulis ikuti yang bermotifkan untuk mengangkat martabat seseorang ulama silam yang terkenal misalnya, sekian ramai yang memuji ulama, namun segelintir ada pula yang memperkecil-kecilkan dan memandang sinis kepada ulama silam yang sedang difokuskan.

Bahkan ada yang memandang sesat terhadap ulama silam itu. Ada yang berani menyalahkan Imam Abu Hasan al-Asy'ari, Imam Al-Ghazali dan lain-lain, yang telah demikian terkenal dan menjadi ikutan dan rujukan ulama Islam sedunia berzaman-zaman.

Ulama silam dunia Melayu sama juga nasibnya, segelintir golongan terpelajar Islam dengan tulisan tajam dan suara lantang berani menyalahkan ulama-ulama seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ramai lagi.

Sedangkan mereka itu telah dianggap sebagai ulama yang tsiqah dan turas dunia Melayu oleh ulama rantau ini, sejak antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.

Bahkan di antara mereka diakui keulamaan dan benar ilmunya oleh ulama-ulama antarabangsa pada zamannya. Umat Islam yang jahil kehilangan pedoman kerana ulama silam yang terkenal dengan kitab-kitab karangannya yang telah diajarkan sekian lama, lalu dipersalahkan oleh tokoh-tokoh Islam masa kini. Tokoh-tokoh Islam masa kini pula sering menyalahkan antara seorang terhadap orang lain yang hidup sezamannya.

Dari hal-hal yang tersebut, kewibawaan ulama dan tokoh Islam zaman kita telah sirna/hilang, akibatnya orang berani menggelar mereka sebagai "Ulama pembohong" seperti yang telah disebutkan di atas.

Isu Jihad

Isu semasa yang terjadi pada zaman kita ini terlalu banyak untuk disentuh. Namun kerana kekurangan ruangan, penulis masuk saja peristiwa terhangat dibicarakan setelah kejadian 11 September 2001, iaitu istilah "JIHAD" yang terjadi pelbagai pentafsiran dan kebersimpangsiuran pendapat antara satu dengan yang lainnya.

Penulis berpendapat bahawa "JIHAD" jika ditinjau dari kitab-kitab fiqh Mazhab Syafie adalah satu istilah yang kadang-kadang digunakan perkataan Kitab al-Jihad, kadang-kadang digunakan perkataan Bab al-Jihad.

Ulama-ulama dunia Melayu menterjemahkan istilah jihad itu dengan "perang sabil", "perang fi sabilillah" dan "perang orang Islam melawan kafir".

Sama ada kita menyetujui atau pun tidak, kerana mempertimbangkan keadaan di pemerintahan mana kita berada atau zaman bila kita hidup, kita mesti mengakui dan berkata benar bahawa dalam fiqh Mazhab Syafie perkataan jihad adalah satu istilah yang ditakrifkan seperti di atas telah ijmak dan muktamad.

Jika kita sebagai seorang ulama, mentakrif pengertian jihad lain dari demikian itu, maka pasti akan dicap dengan perkataan "Ulama pembohong" seperti tersebut di atas oleh orang-orang yang mempelajari fiqh Mazhab Syafie secara teliti, mendalam dan saksama.

Oleh itu kenal pastilah supaya kita tetap amanah dengan ilmu pengetahuan. Katakanlah yang sebenar walau pahit sekali pun.

Mengenai jihad, seperti tersebut di atas, penulis sentuh sehabis-habis ringkas, teliti dan berhati-hati, adalah sebagai catatan penulis mengenai peristiwa besar zaman tersebut (1422 H/ 2001 M).

Namun penulis tiada bermaksud menuding pendapat orang-orang yang tidak menyetujuinya. Selain itu, penulis juga tiada bermaksud mempengaruhi siapapun jua, kerana penulis sedar bahawa kepentingan jasmani dan nafsu peribadi yang cenderung ke arah kebendaan dan seluruh aspek duniawi seseorang adalah berbeza dengan kepentingan rohani yang lebih menekankan seluruh aspek ukhrawi.

Selagi kadar kepentingan jasmani dan nafsu lebih dari kadar kepentingan rohani selagi itulah konsep jihad akan ditolak walaupun telah disepakati oleh para ulama berdasarkan hujah-hujah yang teguh dan kukuh dari al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Jika kita benar-benar sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita mesti berpihak dan menerima kebenaran. Pada yang benar itu ialah secara pasti mengikut al-Quran, as-sunah, dan para ulama yang benar, yang beramal soleh. Itulah para ulama yang secara pasti meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi dari segala kepentingan lainnya, termasuk kepentingan peribadi sendiri.

Ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang benar, seperti tersebut, terdapat pada ulama-ulama silam dunia Melayu. Oleh itu mereka adalah layak kita ikuti jejak perjuangan mereka.


Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

27 Apr 2009

Penulisan puisi ulama Asia Tenggara


Halaman pertama manuskrip Kitab Tafsir Puisi Hamzah Fansuri.


PADA ruangan yang lepas telah dibicarakan sebahagian ulama yang berperanan dalam penulisan puisi di Asia Tenggara, yang diambil kira pada abad ke-16, 17, 18 dan 19.

Sebahagian ulama pada abad ke-19 yang berperanan dalam penulisan ini yang telah dibicarakan ialah:

-Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani,
-Sheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi,
-Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (Aceh),
-Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani
-Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga (Riau)
-Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak).

Selanjutnya akan dibicarakan pula ulama selebihnya, iaitu Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani, Haji Abdur Rauf Melaka, Sheikh Muhammad Shalih al-Fathani dan Raja Haji Muhammad Sa'id Riau.

Maklumat mengenai ulama-ulama tersebut dalam penulisan puisi akan dibicarakan dengan ringkas seperti yang berikut:

Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al- Minankabawi

Beliau merupakan murid Sheikh Ahmad al-Fathani sewaktu belajar di Mesir. Sheikh Ahmad al-Fathani pernah memberi dua tugas kepadanya. Pertama, menyemak beberapa kitab Melayu/Jawi yang akan dicetak di Mesir. Kedua, mengetuai kerabat Diraja Riau yang belajar di Mesir, sekali gus sebagai wakil Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Minankabawi.

Puisi Sheikh Tahir Jalaluddin Minangkabau hanya dijumpai pada halaman akhir kitab Al-Manhaj al-Masyru', karya gurunya Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau. Di bawah ini penulis muatkan contoh permulaan sebahagiannya, iaitu:

Yaqulu Muhammad Tahir orang namakan
Ke negeri Cangking orang nisbahkan
Wahai saudara sekalian tuan
Nasihat guru hendaklah dengarkan
Wahai saudara orang beriman
Jikalau bercinta syurga Adnan
Hendaklah ikut sepanjang yang kenyataan

Di Manhaj al-Masyru' guru namakan
Sebab dalamnya guru nyatakan
Syari'at Nabi guru terangkan
Sepanjang yang mazkur hendaklah amalkan
Mudah-mudahan neraka jahanam Allah jauhkan
Hendaklah fikirkan segala tolan
Dikasikan tirkah kepada kemanakan

Puisi tersebut ditransliterasi daripada tulisan Sheikh Tahir Jalaluddin Minangkabau pada halaman akhir kitab Al-Manhaj al-Masyru' karya Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau, cetakan tahun 1311 H, Matba'ah Maimuniyah, Mesir.

Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani

Ulama dan tokoh ini lebih dikenali dengan panggilan Tok Kelaba. Mendapat pendidikan awal di Pondok Bendang Daya Patani dan belajar daripada Sheikh Abdur Qadir bin Mustafa al-Fathani.

Kemudian ke Mekah dan menjadi kader Sheikh Ahmad al-Fathani. Beliau banyak menghasilkan karya dalam bahasa Arab dan Melayu. Selain menghasilkan karya yang banyak, beliau adalah tokoh dunia Melayu yang paling banyak menghasilkan salinan manuskrip.

Khusus mengenai penyalinan manuskrip dua tokoh yang bersaing banyak membuat salinan, seorang lagi ialah Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu.

Kedua-dua tokoh ini pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini, juga turut dimuatkan dalam Jurnal Filologi Melayu, jilid 2 (1993), terbitan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Bahkan puisi-puisi Tok Kelaba juga dimuatkan dalam jurnal tersebut. Selama ini puisi-puisi tersebut adalah dalam bentuk manuskrip. Setelah jurnal itu diterbitkan, penulis telah menemukan pula beberapa banyak puisi Tok Kelaba.

Oleh itu, penulis simpulkan bahawa pada zamannya, Tok Kelaba adalah ulama dan tokoh orang kedua yang terbanyak menghasilkan puisi sesudah Sheikh Ahmad al-Fathani.

Haji Ahmad Melaka

Nama lengkap Haji Ahmad bin Haji Abdur Rauf bin Abdur Rahman Melaka. Karya dalam bentuk prosa belum ditemui, manakala bagi karya yang berbentuk puisi disiarkan pada bahagian akhir kitab Miftah al-Murid, karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Ada kemungkinan Haji Ahmad Melaka adalah murid ulama besar yang berasal dari Patani itu. Puisi Haji Ahmad Melaka diberi judul Nazam Tauhid Bahasa Melayu dan satu lagi adalah Nazam Nasihat Guru-guru Kami.


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH

6 Apr 2009

Dunia Melayu menurut Sheikh Ahmad al-Fathani

TEUKU Umar Johan Pahlawan (kiri) yang memimpin perang jihad fisabillah menentang penjajahan Belanda.

HINGGA penghujung tahun 1880-an Masihi, belum dijumpai takrif tentang istilah Melayu dalam pelbagai aspek oleh putera dunia Melayu sendiri, kecuali hanya dibicarakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam banyak tempat yang secara terpisah.

Sebelum membicarakan pelbagai aspek peradaban dunia Melayu, penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1. Petikan itu ialah:


"Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah kelompok atawa
segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.

"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.

"Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.

"Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu.

"Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.

"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."

Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.

Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai menulis kitab Tashil Nail al-Amani itu.

Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya", takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah "me" (Me-layu).

Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.

Dunia Melayu

dari aspek geografi dan kesuburannya

Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, "Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.

Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah."

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah" kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa.

Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan kepulauan Melayu.

Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah", dalam Hadiqat al-Azhar. Ia adalah petikan Jaridah Al-Ma'lumat terbitan Betawi.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi".

Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.

Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita".

Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu

Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu."

Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]".

Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah ...", maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu".

Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, "Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali pun".

Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya, "Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau "kemanusiaan", iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala adatnya.

Dan terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu, betul lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.

Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.

Maka iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang membawa kepada kepujian dirinya".

Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.

Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini lain daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna "wajahah" itu "al-hazhu wal ratbah".

Dan iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa] "kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab.

Ada pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan", ertinya "keadaan seseorang itu manusia yang sempurna".

Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna "muru'ah" itu. Wallahu a'lam."

Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki kehormatan yang sopan ..."

Aspek perkembangan ilmu pengetahuan

Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu pengetahuan.

Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya".

Mengenai perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).

Aspek kedaulatan pemerintahan

Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin".

Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.

Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.

Dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin memberi contoh peperangan yang panjang antara Aceh dengan penjajah Belanda, sampai tahun 1316 H/1898 M, iaitu zaman Sheikh Ahmad al-Fathani, telah terjadi perang selama 29 tahun.

Tahun yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu ada hubungan dengan perjuangan terakhir Teuku Umar.

Pada 1 April 1898 M, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, Teuku Tjoet Tungkob dan hulubalang-hulubalang mengucapkan sumpah setia kepada sultan untuk meneruskan perang sabilillah.

Selanjutnya pada 23 Julai 1898 M, di Keude Meulu, Pidie, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, dilantik pemimpin perang sabilillah dalam satu mesyuarat pemimpin adat dan ulama-ulama Islam.

Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) hidup sezaman dengan Teuku Umar (1854 M - 1899 M), beliau lebih muda sekitar dua tahun daripada Teuku Umar.

Memerhatikan tulisan-tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Aceh dan pada zaman yang sama beliau mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Turki-Uthmaniyah minta bantuan melepaskan seluruh dunia Melayu dari semua penjajah bererti Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan dengan semua perjuangan Islam di dunia Melayu termasuk Aceh.

Mengenai yang penulis tulis di atas di antaranya dapat dirujuk dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1, halaman 142-147.

Penutup

Pengenalan peradaban dunia Melayu ini tidak lengkap tanpa membicarakan para pelopor yang terlibat dalam ketamadunan Melayu sehingga melahirkan ramai generasi penerus hari ini.

Kesinambungan dari itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pelopor-pelopor Melayu Islam, yang meliputi dalam pelbagai aspek kepentingan dunia Melayu.


Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

25 Mar 2009

Tanda Sakit

Tanda² Sakit - This is Good Info ... .!!

Risalah ini bagus untuk anda semua....... .. ......
Tanda-tanda sakit yang selalu kita rasakan berhubung kait dengan fungsi badan yang lain. Bacalah untuk menilai sejauh mana kesihatan diri anda :-

1. MATA
(Bertindak balas dengan keadaan hati).
i) Mata menjadi merah : Hati mengandungi paras toksin yang tinggi.
Mata menjadi merah menandakan badan kita sedang dalam proses pembuangan toksin.
ii) Mata menjadi kabur : Sering berlaku pada waktu pagi. Menandakan proses penyeimbangan hati sedang berlaku.
iii) Keluar tahi mata : Fungsi hati lemah, pembuangan toksin sedang berlaku... Ini juga menunjukkan badan mengandungi asid berlebihan.
iv) Keluar air mata : Gangguan emosi yang bersangkut dengan hati atau bebanan kerja
v) Ketegangan mata dan kelopak : Tekanan perasaan kerana tidak puas hati atau bebanan yang berat.

2. HIDUNG

Hidung mempunyai hubungan rapat dengan paru-paru dan kerongkong.
i) Selesema : Proses pembuangan toksin di bahagian kerongkong. Badan mengandungi asid berlebihan (biasanya suhu badan meningkat).
ii) Hidung sumbat : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan.
Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.
iii) Bersin
a. Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
b. Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.


3. Batuk
a. Batuk keluar kahak : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
b. Batuk tanpa kahak : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan. Biasanya kahak pekat keluar selepas beberapa hari memakan RG..
c. Batuk dan berasa gatal di kerongkong : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong dan paru-paru, biasanya berlaku pada orang yang banyak merokok atau terdedah kepada udara yang tercemar.


4. KERONGKONG
i) Kerongkong kering. Proses membuang toksin sedang berlaku
di seluruh badan. Ini adalah tanda bahawa badan kita memerlukan banyak air untuk membuang toksin.
ii) Sakit kerongkong. Seperti di atas. Paras keracunan lebih serius.


5. BIBIR (Berkaitan dengan fungsi sistem penghadaman)
i) Bibir pucat
a. Sistem penghadaman yang lemah.
b. Perut mengandungi angin.
c. Kurang darah yang disebabkan oleh sistem penghadaman yang kurang sempurna dan mengakibatkan kekurangan zat besi. Sepatutnya diperkuatkan fungsi penghadaman dahulu dengan RG sebelum memakan zat besi.
ii) Bibir kering dan pecah. Perut mengandungi banyak bahan toksin.

6. MULUT DAN LIDAH :
Berkaitan dengan fungsi jantung dan sistem pengedaran darah.
i) Lidah atau gusi bengkak, sakit : Menunjukkan jantung mempunyai masalah, seperti lemak yang berlebihan, injap menjadi lemah, saluran koronari tersumbat dan lain-lain lagi.
ii) Lidah, tisu mulut atau gusi menjadi pecah-pecah (ulser). Menandakan darah mengandungi asid berlebihan.
iii) Mulut berbau busuk . Proses penyeimbangan fungsi perut untuk pembuangan toksin.


7. TELINGA: Berkaitan dengan buah pinggang.
i) Telinga terasa tersumbat : Buah pinggang mengandungi toksin berlebihan.
ii) Telinga berdengung : Sedang merawat buah pinggang yang lemah.Biasanya tapak kaki terasa sakit ketika bangun pagi dan sakit itu hilang setelah berjalan-jalan.


8. KULIT Berpeluh :
a) Peluh masin : Badan mengandungi lebihan asid urik.
b) Peluh berbau : Badan menyingkirkan toksin melalui perpeluhan.


9. RUAM DAN BISUL : Badan menyingkirkan toksin yang berlemak dan toksin yang tidak larut dalam air.

10. KULIT GATAL DENGAN RUAM : Proses menyingkirkan toksin melalui kulit akibat terlalu banyak memakan ubat yang mengandungi bahan kimia.

11. KULIT PECAH DAN BERAIR : Proses pembuangan toksin yang larut dalam air.Sapukan serbuk Ganoderma pada kulit berkenaan.

12. RAMBUT GUGUR : Menandakan fungsi buah pinggang yang lemah. Selepas proses gugur, rambut akan tumbuh semula dengan lebih sihat dan subur.

13. SENDI-SENDI, TANGAN DAN KAKI
a. Sakit Sendi
i) Rasa panas. Menunjukkan terdapat luka di bahagian sendi berkenaan dan tanda- tanda penyakit pirai (gout).
ii) Tidak rasa panas Tanda-tanda sakit lenguh (rheumatism) .
iii) Sakit di bahagian bahu. Menandakan saluran darah telah menjadi keras dan fungsi metabolisme tidak seimbang.

b) KEBAS TANGAN : Pengaliran darah di bahagian atas badan tidak lancar.
c) KEBAS TANGAN KIRI DAN LENGAN : Tanda-tanda lemah atau sakit jantung. Jika rasa kebas menjadi sakit di bahagian lengan dan kekal di sana, ini menandakan serangan sakit jantung mungkin berlaku.
d) KEBAS KAKI : Pengaliran darah di bahagian bawah badan tidak lancar.
e) SAKIT TAPAK KAKI : Menandakan buah pinggang lemah. Biasanya disebabkan oleh kekurangan senaman dan duduk terlalu lama.
f) SAKIT TUMIT KAKI : Menunjukkan kelemahan fungsi alat kelamin.
g) RASA PANAS DI TAPAK KAKI : Penyeimbangan fungsi buah pinggang akibat lemah tenaga batin.
h) GATAL DI CELAH-CELAH JARI KAKI : Menunjukkan tanda awal penyakit kaki busuk (Hong Kong Foot).

14. TANDA-TANDA DALAMAN
A. KEPALA.
Secara amnya, segala tindak balas yang berlaku di bahagian kepala mempunyai kaitan dengan sistem pengaliran darah, jantung dan saraf otak.

B. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN DEPAN KEPALA
Menandakan sakit tekanan jiwa (neurosis) akibat bebanan mental dan banyak berfikir.

C. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN BELAKANG KEPALA
i) Bahagian atas . Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi.
ii) Bahagian bawah (tengkuk). Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi atau tekanan darah.

D. SAKIT KEPALA DAN RASA GAS KELUAR DARI TELINGA :Menandakan penyakit migrain.
E. BISUL TERJADI DI KEPALA
Tanda pembuangan toksin sedang berlaku. Kadang-kadang dikaitkan dengan penyakit migrain.

F. RASA PENING YANG MEMUSING
Tanda kurang darah atau pengaliran darah tidak lancar.


15. MULUT/KERONGKONG/ LIDAH
a. LOYA/MUNTAH . Tanda penyakit lelah. Pembuangan bahan toksik dari bahagian perut.
b. MUNTAH DARAH
i) Darah merah : Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian kerongkong dan
ii) Darah hitam: Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian perut; misalnya penyakit ulser.


16. LIDAH RASA TEGANG DAN PENDEK : Tanda sakit jantung.

17. KELUAR AIR LIUR YANG PEKAT . Proses pembuangan toksin dari kerongkong akibat jangkitan kuman

18. KENCING
a) KERAP KENCING
Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran
b) AIR KENCING BERKAPUR Menunjukkan penyakit batu karang dalam buah pinggang.
c) AIR KENCING BERMINYAK : Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran berlemak.
d) AIR KENCING PEKAT BERWARNA COKLAT : Menandakan proses pembuangan toksin sedang berlaku.
e) AIR KENCING BERDARAH : Penyakit batu karang atau buah pinggang luka.


19. BUANG AIR BESAR
a) CIRIT-BIRIT/ KERAP BUANG AIR BESAR : Membersihkan kotoran/keracunan dari usus besar. Cirit-birit dengan serta merta selepas memakan RG, menandakan penyakit barah di bahagian usus besar.
b) SEMBELIT: Membersihkan toksin dari usus kecil.
c) NAJIS BERDARAH
i) Darah merah : Masalah penyakit buasir atau barah di bahagian usus.
ii) Darah hitam: Masalah penyakit ulser perut.
d) NAJIS BERWARNA HITAM : Menunjukkan proses pembuangan toksin di bahagian usus sedang berlaku.


20. BADAN
a) RASA SAKIT : Secara amnya, segala kesakitan badan adalah disebabkan saluran darah.
i) Sakit menyucuk : Proses menyeimbangkan urat saraf.
ii) Sakit sengal: Menandakan luka di dalam badan.
iii) Sakit menyentap: Proses menyeimbangkan urat saraf yang berkaitan dengan organ-organ badan.
iv) Sakit menegang : Proses melancarkan pengaliran darah.
b) BADAN TERASA BERAT/ MALAS/ LENGUH . Badan mengandungi asid yang berlebihan. Proses penyeimbangan
c) BADAN TERASA PANAS . Badan mengandungi asid yang berlebihan. Ini menandakan badan memerlukan banyak air untuk menjalankan proses pembuangan toksin.
d) BADAN TERASA RINGAN :
Menandakan badan segar dan proses awet muda sedang berlaku.


21. RASA TAKUT MENGEJUT : Lemah fungsi buah pinggang. Tenaga batin lemah.

22. CEPAT NAIK DARAH/MARAH : Fungsi hati lemah. Tekanan darah tinggi.

23. RASA BIMBANG DAN TAKUT : Sistem paru-paru yang lemah.

24. RASA SERONOK ATAU BIMBANG TANPA SEBAB :
i) Sistem jantung yang lemah.
ii) Sistem saraf otak yang lemah.
iii) Masalah pengaliran darah.


25. SUKA BERFIKIR DAN BERKHAYAL : Sistem penghadaman yang lemah.

16 Mar 2009

Lepak Minum Kopi

Dari dulu hingga sekarang, melepak minum kopi main "dam haji" dah menjadi budaya turun menurun.. Jika di Malaysia orang lepak minum kopi O sambil hisap rokok Gudang Garam ada juga yang hisap rokok daun je maklum duit dah abih.. Tetapi lain pula di Mesir.. budaya lepak kedai kopi ni memang paling menarik disini dan sebagaimana maklum bahawa kedai kopi pertama dunia adalah di Universiti al-Azhar... kagumkan universiti tertua di dunia ni rupanya adalah tempat orang lepak minum kopi sehingga la sekarang.. tapi bukan macam kedai kopi yang kita sering fikirkan.. selalunya kalau orang lepak kedai kopi ni main dam ke daun terup ke...tapi di al-Azhar ni orang menelaah ilmu sampai ke pagi... ada yang muzakarah ilmu yang sampai sekarang menjadi pegangan kita... ini baru pengenalan mengenai kedai kopi...

Berbalik pada topik yang aku nak ceritakan ni adalah mengenai kedai kopi kat mesir ni... Disini kalau tidak lepak kedai kopi atau nama dalam arab "qohwah" memang merugikan.. kerana tapa saya katakan rugi pasal kalau nak lepak menyisha kenalah lepak kat kedai kopi.. pastu bole main domino pastu ada game pakai dadu aku pun sampai sekarang tak reti nak main.. ada juga arab yang lepak sampai subuh pasal kene sound dengan bini kemudian dia akan cerita la kenapa bini dia mengamuk...

best tak cerita aku macam hampeh kan... hahahahahaha.. anyways time aku tulis ni memang tengah lepak minum kopi...

Masalah GEMUK.. Cubalah Petua Ini

Mengempiskan Perut

Petua 1 :
Cara mudah yang biasa di lakukan ialah dengan hanya mengambil beberapa biji limau kasturi dan sedikit kapur makan. Perah jus limau kasturi tersebut dan gaul bersama dengan kapur makan tadi. Sapukan pada perut anda yang buncit untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Insyaallah perut anda akan kempis jika rajin mengamalkannya.

Petua 2 :
Petua yang mudah dan kos yang murah. Anda perlu mengambil limau nipis yang telah dicampur dengan teh tanpa gula untuk tiap-tiap hari kemudian diminum. Amalkan meminum air ini dan insyaAllah perut anda yang buncit akan menjadi kempis. Petua ini untuk orang yang tiada mengidap sebarang penyakit. Selamat mencuba

Petua 3 :
Asam jawa dan garam dibancuh dengan segelas air panas. Embunkan semalaman. Esok paginya minum air tersebut sebelum membasuh muka atau membuang air kecil.

Petua 4 :
Ambil segenggam cekur, tepung beras, asam dan gula merah secukupnya, gula pasir dan garam. Semua bahan itu ditumbuk halus, kemudian masukkan air sebanyak setengah gelas. Air tersebut ditapis dan diminum. Amalkan ia selama 4 hari berturut-turut.

Petua 5 : Ambil beberapa biji buah delima. Kupas kulitnya dan jemur sehingga kering. Setelah kering, rebuskan ia dengan sedikit garam. Air rebusan kulit buah delima ini hendaklah diminum selalu bagi mengempiskan perut.


Menurunkan Berat Badan

Petua 1 :
Jika anda mengalami berat badan yang berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan berat badan anda. Caranya: Sediakan dua biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari, setelah itu perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air minuman setiap kali selepas anda makan tengahari dan makan malam. Cara ini boleh diikuti dengan senaman ringan. Amalkanlah meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur turun

Petua 2 :
Ambil 3 sudu besar serbuk teh cina dan rendam dalam air. Tapis dan campurkan dengan air perahan limau nipis. Amalkan selalu meminumnya 2 kali sehari iaitu sebelum sarapan dan sebelum tidur.

Petua 3 : Cuci dua helai daun betik tua dengan air suam sehingga bersih. Selepas itu potong kecil-kecil selebar dua jari dan masukkan ke dalam mesin pengisar bersama air asam jawa secukupnya dan secubit garam. Kisar hingga lumat. Tapis dan ambil airnya. Minum 3 kali sehari sebelum mengamalkannya setiap hari selama seminggu.


Membuang Lemak Badan

Petua 1 :
Sekiranya anda mengalami masalah lebihan lemah, cuba amalkan petua ini. Ambil 3 - 5 biji putik delima, basuh bersih dan tumbuk hingga lumat. Perah airnya dan minum pati perahan putik delima ini tanpa dicampur bahan lain. Amalkan setiap hari di waktu pagi dan malam, selama sebulan. Insya-Allah, dengan menjaga pemakanan dan bersenam, lemak yang berlebihan bukan menjadi masalah lagi dan bentuk badan idaman dapat dicapai. Selamat mencuba.

Petua 2 :
Jika anda mengalami masalah berat badan, air asam jawa baik dijadikan minuman harian. Air asam jawa akan mengurangkan kadar lemak dalam badan anda. Caranya: Ambil sebuku asam jawa, ramas ke dalam air sebanyak segelas. Masukkan ke dalam peti sejuk, anda jadikan minuman, selepas anda makan tengahari atau makan malam. Amalkan setiap hari, anda akan dapati tubuh anda akan bertambah segar dan langsing.


Melangsingkan Tubuh

Petua 1 :
Dua biji lobak merah dan sebiji timun diparut dan diperah airnya. Campur dgn sebiji air limau nipis dan bancuh hingga sebati. Minum dua kali sehari. Amalkan sehingga mencapai berat badan ideal.

Petua 2 :
Hiriskan sedikit halia dan campurkan dengan segelas air suam. Biarkan seketika. Amalkan minum pada setiap pagi.

Petua 3 :
Rebus pucuk betik hingga tinggal setengah cawan airnya. Amalkan meminumnya 2 kali sehari.

Petua 4:
Tumbuk sedikit jintan manis, jintan putih, halia dan lada hitam sehingga halus. Campurkan dengan setengah gelas air dan ditapis. Minum air ini sebelum tidur dan amalkan selama sebulan.

Ur Phone Number

Something of interest to you. Try this out !!!
Really amazing !


1) key-in the first 3 digits of your handphone number (not the 01x number) into the calculator
2) multiply by 80
3) add 1
4) multiply by 250
5) plus last four digits of phone number
6) plus last four digits of phone number again
7) minus 250
8) divide by 2 at last

Is it your handphone number ?
AMAZING EEEEH!!!!!


anyway what's your h/phone no, if I can enquire ! huhu

11 Mar 2009

Teka Teki

Teka teki relek kan otak..kene gelak lebih-lebih tau, baru hilang tension....

S : Bebanyak ikan, ikan apa yang selalu sakit perut?
J : Ikan kembung.

S : Apa dia: bila kecik dia hitam, bila besar jadi putih?
J : Michael Jackson.

S : Bebanyak singa, singa apa yang tak makan daging?
J : Singapura.

S : Kenapa hidung lembu sentiasa berair?
J : Lembu tak tahu nak kesat hidungnya dengan tisu.

S : Burung apakah yang paling penyayang?
J : Burung belatuk... sebab dia bela atuk.

S : Lembu apakah yang selalu dicari?
J : Lembu apalagi... lembu yang hilanglah.

S : Kalau seorang, sendiri tau. Kalau berdua, dua-dua sama tau. Bertiga,
tiada siapa yang tahu kecuali orang yang buat. Kalau berempat, lagilah tak tahu... apa dia?
J : Kentut...


S : Bom apakah yang tak pernah meletup?
J : Bomba ataupun kuih bom.

J : Kereta apa yang orang tak pernah panggil kereta?
S : Teksi.

10 Mar 2009

Koran Mungkin Tak Sengaja

1)Korang mungkin tak sengaja jika..
-Terpegang tangan awek orang ketika berjalan di pasar malam.

*Tapi mustahil tak sengaja jika..
-Terpeluk pinggang awek tu sampai ke hujung pasar malam.

2)Korang mungkin tak sengaja jika..
-Tertidur ketika sedang mengawal keselamatan premis selaku security

*Tapi mustahil tak sengaja jika..
-Siap bawak bantal,tikar dan pakai sarung serta membaringkan badan ketika bekerja.

3)Korang mungkin tak sengaja jika..
-Tersilap masuk rumah jiran sebelah kerana pintunya sama dan tak berkunci pula tu.

*Tapi mustahil tak sengaja jika..
-Tersilap masuk dan kemudian tersilap bawa keluar barang-barang yang berharga.

4)Korang mungkin tak sengaja jika..
-Terambil dan terpakai duit rakan serumah yang tertinggal di atas meja.

*Tapi mustahil tak sengaja jika..
-Duit rakan serumah itu korang terambil di dalam dompetnya sewaktu dia tidur.

5)Korang mungkin tak sengaja jika..
-Terlewat beberapa minit ke tempat kerja kerana jalanraya sesak.

*Tapi mustahil tak sengaja jika..
-Terlewat hingga beberapa jam kerana jalan tren komuter jem.

6)Korang mungkin tak sengaja jika..
- Tertinggal solat kerana tertidur

*Tapi mustahil tak sengaja jika..
- Sengaja membaringkan diri anda sedangkan waktu solat dah waktu gajah (waktu dah nak habis)